Tuesday, December 9, 2008

Kemelut TNB lebih sukar

TAHUN depan dijangka menjadi tempoh yang sukar dan mencabar bagi Tenaga Nasional Bhd. (TNB). Setelah hampir 60 tahun, menerangi setiap rumah di negara ini, syarikat utiliti itu kini berdepan dengan masalah kewangan akibat kos operasi yang kekal tinggi.

Nikmat bekalan elektrik ibarat 'petik di tepi di tengah menyala' sukar untuk dipastikan tidak terjejas ketika TNB memiliki simpanan tunai mampu bertahan sehingga 12 bulan. Harga arang batu yang masih mahal biarpun harga minyak mentah dunia mengalami penurunan, juga menjejaskan syarikat itu.

Penjimatan dan pengurangan kos yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu tidak mampu untuk menampung kemelut kewangan, tetapi hanya sekadar melanjutkan tempoh TNB merasai kesannya. Isu Projek Pengukuhan Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Selangor sekiranya gagal dilaksanakan meningkatkan tekanan ke atas syarikat utiliti itu.

Biarpun, penerajunya Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh memberikan jaminan untuk memastikan sebaik mungkin negara tidak bergelap tetapi segala-galanya masih berkemungkinan. Lebih-lebih lagi, TNB bakal menanggung beban bayaran tambahan kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) mulai bulan depan.

Kesemua ini juga menyebabkan syarikat utiliti itu tidak mampu untuk mengurangkan tarif elektrik di sebalik desakan orang ramai. Berikut adalah wawancara dengan Che Khalib dengan wartawan Utusan Malaysia, MOWARDI MAHMUD, SUWARNI MOKHTAR dan SARAH NADLIN ROHIM untuk menjelaskan masalah yang dihadapi berkaitan isu tarif, dakwaan ketidakcekapan, IPP dan potensi tenaga nuklear.

UTUSAN: Pada tahun depan, ekonomi negara dijangka akan menjadi perlahan. Sejauh mana senario ini akan menjejaskan pencapaian kewangan TNB?

CHE KHALIB: Ekonomi negara kita akan menguncup tahun depan, tetapi tidaklah sampai berlaku kemelesetan, keadaan ini memberi kesan terhadap TNB kerana permintaan tenaga elektrik akan berkurangan. Setakat tiga bulan lalu, kita lihat permintaan elektrik belum berkurangan cuma mendatar. Kami tidak jangka ada peningkatan permintaan dan kalau ada pun, ia sekadar dua hingga tiga peratus sahaja. Permintaan elektrik juga petunjuk terbaik keadaan ekonomi, bila berlaku penurunan, aktiviti ekonomi juga berkurangan.

Jadi bagaimana pula prestasi kewangan TNB?

Kita sebenarnya menghadapi masalah peningkatan harga bahan api. Ramai kurang faham kenapa tarif elektrik masih dikekalkan sedangkan harga minyak sudah turun. Biarpun harga minyak turun, harga gas untuk menjana elektrik adalah kekal. Harga bahan api mewakili 60 peratus daripada kos keseluruhan yang ditanggung TNB. Harga gas yang kita bayar tetap sama.

Kedua, bahan api kedua yang terbesar kita gunakan adalah arang batu dan harganya juga tinggi iaitu masih di paras melebihi AS$100 pada bulan lepas (Oktober). Sekarang, (ketika temubual), harganya jatuh ke paras AS$80 - AS$90, tetapi masih lagi tinggi. Jadi, bagaimana hendak kita turunkan tarif elektrik jika kosnya masih tinggi? Kita telah menyerap semua kos tambahan dan akibatnya suku terakhir sebelum ini, kita alami kerugian. Harga arang batu semakin turun tapi apa yang merisaukan mulai Januari tahun depan, TNB mula kena membayar bagi tenaga elektrik janaan Jimmah (stesen janakuasa Jimmah, Negeri Sembilan). Ini akan menambahkan beban TNB.

Keuntungan sebelum cukai TNB sudah menyusut dan simpanan tunai mencukupi sehingga 12 bulan, mampukah TNB bertahan?

Kami (TNB) sudah memulakan kempen penjimatan atau kawalan kos sejak empat tahun lalu. Pelbagai langkah telah kita ambil. Dalam operasi, kita cuba mendapatkan harga terbaik dan tenaga kerja TNB turut memahami bahawa perbelanjaan yang tidak diperlukan atau boleh ditangguhkan, akan ditangguhkan dulu dengan memastikan aspek-aspek penyelenggaraan tidak terjejas. Alhamdulillah, sejak empat tahun lalu, kita telah berjaya mengurangkan berlakunya gangguan bekalan elektrik.

Tetapi ada kebimbangan bahawa prestasi buruk kewangan TNB boleh mengundang berlakunya gangguan bekalan elektrik seperti mana 1992?

Itu yang kita takuti sekiranya masalah (kewangan) tidak ditangani secepat mungkin. Ketika orang ramai turut berdepan dengan pelbagai cabaran seperti harga barang meningkat dan ekonomi yang tidak menggalakkan, kita lihat masalah TNB tidak semestinya diselesaikan dengan kenaikan tarif elektrik.

Jadi ada cara lain?

Banyak cara lain kita boleh buat. Peningkatan tarif adalah perkara terakhir, itu pun jika tiada lagi pilihan lain. Kita mungkin perlu berbincang dengan pembekal tenaga bebas (IPP) untuk bersama-sama menangani masalah dan melihat bagaimana kerajaan boleh membantu TNB mengurangkan beban. Pada masa lampau, kerajaan telah membantu TNB dengan memberikan subsidi gas pada kadar yang tinggi.

Jadi, dengan langkah-langkah tadi, beban TNB boleh dikurangkan. Kita mahu memastikan TNB mempunyai dana mencukupi untuk menyelenggara kesemua peralatan pada waktu yang ditetapkan. Sekiranya gagal, peralatan ini akan mula bermasalah dan ia akan meruncing dan mendatangkan beban pada masa hadapan. Ini yang menyebabkan terputusnya bekalan elektrik, pembekalan tenaga tidak stabil dan sebagainya.

Ada pihak yang menyatakan masalah kewangan yang dihadapi itu disebabkan oleh kegagalan TNB diurus dengan cekap?

Saya kurang bersetuju dengan pendapat itu. Sekiranya TNB tidak diurus dengan cekap, saya rasa sudah lama TNB hadapi masalah.

Kenapa Datuk Seri?

Kenaikan harga arang batu bukan bermula pada Julai 2008, harganya telahpun tinggi sejak Oktober 2007. Pada waktu itu, TNB sudahpun membayar harga arang batu yang mahal tapi kami tidak minta apa-apa pun (naikkan tarif elektrik).

Kos

Kita telah serap semua kos yang naik selama ini dan kita tidak meminta kenaikan tarif hanya kerana sebelum ini, kita telah lama tidak mendapatnya. Pelaksanaan program penjimatan dan pengurangan kos sejak empat tahun lalu, membolehkan TNB mampu menyerap semua kenaikan kos. Tetapi, kita hanya mampu serap sehingga tahap tertentu sahaja. Lebih daripada itu, kita akan hadapi masalah yang menyebabkan kita terpaksa berkompromi dengan perbelanjaan lain, (akhirnya) kita langsung tidak boleh menghasilkan elektrik.

Setakat ini, adakah Datuk Seri merasakan orang ramai mulai memahami masalah TNB?

Bagi saya, mungkin orang ramai faham cuma dalam keadaan sebegini (ekonomi bermasalah) masyarakat mengharap bukan sahaja barang lain turun tetapi juga tarif elektrik. Jadi tenaga elektrik dilihat sebagai salah satu kos jika diturunkan dapat mengurangkan beban mereka. Tetapi, masalahnya sekarang, TNB tidak berada dalam keadaan di mana kita dapat membantu sepenuhnya mengurangkan beban.

Selain langkah pengurangan kos, apakah lagi usaha yang diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan TNB?

Kita cuba mempelbagaikan perniagaan. TNB misalnya telah menjalankan perniagaan-perniaga an di luar negara atau memasarkan perkhidmatan kita tetapi hanya lebih kurang dua, tiga tahun lepas, kita melakukannya secara agresif.

Pelaksanaan projek-projek berkaitan dengan infrastruktur elektrik mengambil masa yang panjang, kadangkala sehingga 10 tahun, baru syarikat mendapat pulangan.
Perniagaan TNB di Malaysia boleh dikatakan sudah berada ke tahap yang tepu. Kita tidak boleh lagi mengharap kepada keuntungan di sini untuk membantu mengurangkan tarif elektrik kepada para pengguna kita di Malaysia, jadi kita mempelbagaikan punca pendapatan di luar negara.

Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut?

Kita sudah melabur di Pakistan dan di Arab Saudi. Kita sudah mulakan tiga tahun lepas dan operasinya akan bermula pada Mac 2009, hanya selepas itu, ia akan mula menjana wang untuk TNB. Kita juga meluaskan kegiatan syarikat yang menjalankan kerja pembaikan dan penyelenggaraan TNB. Tiga tahun lepas, pendapatan syarikat ini lebih kurang RM30 juta, sekarang pendapatan kasarnya meningkat sehingga RM200 juta. Semua ini mengambil masa.


P/S: Kita simpati dengan kemelut kewangan yang dihadapi TNB, tetapi TNB juga mesti prihatin dengan masalah beban kewangan rakyat. Kerajaan mesti campur tangan dalam hal penurunan tarif letrik TNB ini. Kerajaan mesti beri satu tempoh untuk TNB selesaikan masalah penurunan harga tarif letrik ini, jika Che Khalid tidak mampu untuk turunkan harga, mungkin ada orang lain yang boleh. TNB kena fikir betul-betul sebelum di cap sebagai GLC yang tidak prihatin kepada masalah rakyat.

No comments:

imeem