Friday, December 19, 2008

Sime Darby Sahkan Hasrat Beli Kepentingan IJN

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Sime Darby Bhd. mengesahkan bahawa ia telah menulis surat kepada kerajaan menyatakan hasratnya membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn. Bhd.

Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, ia masih menunggu jawapan rasmi daripada kerajaan.

Sime Darby berkata, pelaburan yang dicadangkan itu tertakluk kepada, antara lain, usaha kajian wajar yang dijalankan dengan memuaskan oleh syarikat itu dan kelulusan pihak-pihak berkuasa berkenaan.

Sementara itu, OSK Research Sdn. Bhd., dalam ulasannya berkata minat Sime Darby mengambil alih IJN adalah sejajar dengan misi kumpulan itu untuk memperkukuh perniagaan penjagaan kesihatan swastanya melalui bahagian penjagaan kesihatannya.

Jadi, jika penswastaan itu terlaksana, Sime Darby akan dapat memanfaatkan reputasi dan jenama kukuh IJN, yang akan memudahkan Sime Darby mengembangkan lagi perniagaan penjagaan kesihatannya.

Bagaimanapun, kata OSK, masih banyak yang perlu dilakukan meskipun dengan penerimaan positif daripada Kementerian Kewangan bagi penswastaan IJN, kerana banyak perkara yang perlu dipertimbang sebelum keputusan muktamad dibuat.

OSK berkata, satu perkara yang menjadi persoalan bagi Kementerian Kesihatan ialah sama ada bayaran IJN akan dinaikkan sekiranya ia diambil alih oleh sebuah badan swasta.

Pada asasnya, keputusan muktamad akan bergantung kepada kesan penswastaan IJN ke atas masyarakat umum dan OSK percaya Kementerian Kesihatan akan hanya bersetuju dengan pengambilalihan itu jika ada jaringan keselamatan bagi rakyat miskin dan yang kurang bernasib baik.

Satu struktur yang berkesan diperlukan untuk memastikan pengambilalihan itu menghasilkan situasi menang-menang bagi orang ramai dan juga Sime Darby, tegas OSK.
- Bernama

P/S: Sime Darby tidak perlu ambil alih IJN, memadai Sime Darby perkukuhkan SJMC dengan manambah pakar-pakar jantung di SJMC. Dengan ini, Malaysia akan ada lebih banyak pusat jantung dan tidak hanya berharapkan IJN sahaja. Lebih banyak pusat rawatan jantung, lebih baik. Lagipun, harga tentu naik apabila diswastakan. IJN memang patut dinaiktaraf selaras dengan fungsi dan kepakarannya dalam era semasa, cuma men'swasta'kannya mungkin langkah terakhir, bukan langkah pertama.

1 comment:

Gerrard said...

Sime Darby boleh buat IJN sendiri .. dorang risaukan penjenamaan jer .. SJMC pun dah ada .. lagi apa yang mereka nak ambil alih?

imeem